Jumaat, 21 Oktober 2011

Penggantungan Profesor Abdul Aziz Bari menzalimi cedekiawan

Rakyat sudah sedia maklum bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berhubung dengan kenyataan beliau yang menyentuh beberapa isu dalam lingkungan Perlembagaan.

Kini kita dikejutkan lagi dengan berita yang mana beliau juga digantung tugas sebagai pensyarah undang-undang sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan.

KEADILAN berpandangan bahawa tindakan ini seolah-olah merendahkan para akademia dalam tugasan harian mereka untuk memberi pandangan dan pendapat dalam kepakaran mereka.

Adalah sesuatu yang memalukan dan menzalimi para cendakiawan di Malaysia apabila ditekan dan disekat hanya kerana memberi pandangan bersandarkan fakta-fakta imperikal yang sememangnya menjadi kepakaran mereka. Ini sekaligus akan membantutkan proses penyuburan ilmu kepada rakyat.

Isu yang timbul, yang dipolemikkan oleh sesetengah media dan politikus tertentu melibatkan Profesor Dr. Aziz, harus dianalisa ketepatannya terlebih dahulu dalam konteks perundangan, bukan sekadar persepsi dari sesetengah pihak.

Mereka seharusnya diberikan ruang untuk memberi komentar mahupun kritikan selagimana ia bersifat membina dan berada dalam kerangka undang-undang negara.

Oleh yang demikian atas prinsip kebebasan akademik, KEADILAN berharap isu ini dapat dirungkai oleh pihak pengurusan UIAM agar ia dapat dikendalikan dengan penuh hemah dan wibawa tanpa mencemarkan budaya ilmu seterusnya budaya ilmu ini akan dapat diangkat di Malaysia yang kita kasihi.


DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan