Rabu, 30 Mac 2011

Dua balu kakitangan telekom terima faedah PERKESO


MERSING 15 Mac – Dua balu kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 76, Jalan Batu Pahat-Mersing pada 8 Mac lalu, menerima pampasan berupa Faedah Pengebumian dan bayaran pencen daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi di Kampung Gajah itu, kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki tiga pekerja TM dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler pasir mengakibatkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian.


Mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah Abdul Malik Abdullah, 49, dan Abdul Wahab Jaafar, 51, manakala pemandu kereta tersebut, Jasni Samad, 51, cedera parah.

Zaimah Saliman, 42, balu kepada Abdul Malik dan Faridah Idris, 43, balu Abdul Wahab menerima kunjungan Pengurus Perkeso Kluang, Dundang Undong ke rumah masing-masing untuk penyampaian Faedah Pengebumian sebanyak RM1,500 dan Faedah Orang Tanggungan iaitu bayar pencen berdasarkan purata 90 peratus enam bulan terakhir di sini hari ini.


“Perkeso mengesahkan kemalangan yang menimpa suami mereka sebagai bencana kerja sekali gus melayakkan Zaimah dan Faridah menerima faedah tunai secara bulanan dalam bentuk pencen di bawah skim Faedah Orang Tanggungan yang akan dibayar mulai April nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Dundang lagi, bayaran pencen tersebut akan diterima sepanjang hayat manakala anak-anak mereka turut mendapat faedah tersebut sehingga mencapai umur 21 tahun atau berkahwin manakala Jasni menerima faedah hilang upaya sementara.

Menurutnya, sebagai sebuah organisasi yang prihatin dalam menjaga kebajikan pekerja dan orang tanggungan mereka, Perkeso sentiasa peka dengan isu-isu berkaitan termasuk mengadakan kunjungan ke rumah untuk mengetahui keadaan sebenar.



Tambahnya lagi, bayaran tuntutan akibat kemalangan di seluruh negara yang ditanggung Perkeso bagi tahun lalu adalah berjumlah RM1.55 bilion.

“Bayaran tersebut meningkat sebanyak 19.7 peratus berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak 1.3 bilion,” katanya lagi.


***Utusan malaysia***

Tiada ulasan:

Catat Ulasan