Jumaat, 15 April 2011

OPERASI BERTERUSAN KESAN MAJIKAN INGKAR


Saya petik dari Utusan:
MERSING 8 April - Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) mengingatkan para majikan yang ingkar membuat caruman pekerja dengan badan itu agar segera berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan dalam Ops Kesan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara.

Operasi tersebut dilancarkan dengan tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang Perkeso serta memastikan setiap majikan dan pekerja yang layak mendaftar dengannya.

Pengurus Perkeso Kluang, Dundang Undong berkata, Ops Kesan yang dijalankan tahun ini agak berbeza berbanding sebelum ini kerana ia diperluaskan sehingga ke waktu malam.

"Bagi Mac tahun ini, operasi lebih tertumpu kepada pengusaha restoran dan kedai makan yang menjalankan perniagaan pada waktu malam di sekitar bandar Kluang, Simpang Renggam dan Ayer Hitam," katanya kepada pemberita ketika operasi dijalankan di sini, baru-baru ini.


Menurut beliau lagi, 350 majikan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, lapan notis tawaran kompaun berjumlah RM5,500 telah dikeluarkan.

"Notis tawaran kompaun berkenaan dikeluarkan atas kesalahan gagal mendaftar perusahaan dengan Perkeso," katanya.

Tambah beliau lagi, statistik menunjukkan majikan di kawasan Kluang telah mula sedar tentang kepentingan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso sebagai langkah untuk menjaga kebajikan pekerja-pekerjanya.

"Operasi ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa serta akan diperluaskan lagi ke kawasan taklukan seperti Mersing, Endau dan kawasan-kawasan lain," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan