Khamis, 9 Mei 2013

Sambutan World OSH Day Peringkat PERKESO 2013


1.Pada 29 April 2013 lalu, Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, Ibu Pejabat PERKESO telah mengadakan Sambutan World OSH Day Peringkat PERKESO 2013 bertempat di Dewan Persidangan Tingkat 8, Menara PERKESO. Tema sambutan bagi tahun ini adalah “The Prevention of Occupational Diseases”.

2.Majlis perasmian World OSH Day Peringkat PERKESO 2013 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi Lembaga PERKESO. Turut hadir pada majlis perasmian sambutan ini adalah YBhg. Datuk K. Selvarajah, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato' Dr. Mohammed Azman Mohammed, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, Ibu Pejabat serta Ketua-ketua Bahagian, Pengarah PERKESO Negeri Kuala Lumpur, Pengarah PERKESO Negeri Selangor dan anggota PERKESO di Ibu Pejabat.

3.Atur cara majlis sambutan dimulakan seawal jam 8.45 pagi dengan sesi ceramah yang bertajuk “The Prevention of Occupational Diseases”, telah disampaikan oleh Dr. Jalal Dahalan, seorang pakar ergonomik yang dijemput khusus daripada ErgoWorks Sdn. Bhd. Atur cara kemuncak adalah perasmian majlis sambutan yang telah berlangsung tepat jam 11.10 pagi.

4.Selepas merasmikan majlis sambutan tersebut, YBhg. Datuk Abu Huraira seterusnya menyampaikan pula baucar Program Saringan Kesihatan (HSP) kepada anggota yang layak diikuti dengan penyampaian Peralatan Pelindung Diri (PPE) kepada Pengarah PERKESO Kuala Lumpur dan Pengarah PERKESO Selangor.

5.Alat pelindung diri seperti ‘safety shoe' dan 'safety helmet' akan dibekalkan kepada semua Pegawai Penyiasat dan Pegawai Pemeriksa PERKESO yang menjalankan tugas rasmi luar pejabat bagi melindungi diri mereka dari sebarang bentuk 'hazard' dan risiko kemalangan.

6.YBhg. Datuk Pengerusi Lembaga juga sempat meluangkan masa untuk melawat ruang tapak pameran di lobi Menara PERKESO yang melibatkan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan NIOSH. Klinik Chateral And Khoo yang merupakan klinik panel HSP pula telah menyediakan perkhidmatan ujian saringan kesihatan. Di samping itu, seramai 67 orang anggota PERKESO telah mengambil bahagian untuk menderma darah kepada Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur.

Syabas dan ucapan setinggi terima kasih kepada anggota yang telah bertungkus-lumus menjayakan Majlis Sambutan World OSH Day Peringkat PERKESO 2013 pada kali ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan