Ahad, 14 Julai 2013

RM30 juta belanja skim Perkeso penjawat awam


MARAN - Kerajaan dijangka membelanjakan RM30 juta setiap tahun bagi tujuan menyediakan perlindungan menerusi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada lebih 63,000 anggota perkhidmatan awam bertaraf sementara dan kontrak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Muttalib berkata penjawat awam bertaraf sementara dan kontrak kini layak mencarum dalam skim Perkeso mulai 1 Jun lepas.

"Kini nasib mereka lebih terbela apabila kerajaan mencarumkan insurans mereka dengan Perkeso, mereka tidak lagi perlu bimbang apabila dilindungi insurans bagi mengelak menanggung kesusahan jika terbabit dalam kemalangan atau musibah yang tidak dijangkakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya seperti pencarum Perkeso yang lain, pekerja kontrak terbabit juga akan dilindungi menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta mengikut kelayakan, terma dan syarat serta tatacara yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja, 1971.

"Secara mudahnya, mereka juga akan menerima faedah yang sama dengan pekerja swasta berdasarkan dua skim perlindungan yang disediakan Perkeso. Skim pertama ialah Skim Bencana Pekerjaan iaitu Perkeso memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan dengan faedah-faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang
tanggungan dan pengurusan mayat.

"Skim kedua ialah Skim Keilatan iaitu meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat. Kita berharap dengan adanya perlindungan menerusi skim ini, semua penjawat awam sementara dan kontrak akan lebih beriltizam meningkatkan produktiviti mereka," katanya.

Terdahulu Ismail bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin mengadakan program Ziarah Ramadan di masjid Felda Jengka 2 di sini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan