Selasa, 1 November 2016

Kenyataan Akhbar Penjenamaan Semula Perkhidmatan Perkeso/Socso



logo perkeso
KENYATAAN AKHBAR
PELANCARAN PENJENAMAAN SEMULA PERKHIDMATAN
PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL
  1. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang kini berusia 45 tahun terus komited memberikan perlindungan keselamatan sosial terbaik kepada golongan pekerja di Negara ini melalui dua skim perlindungan yang dilaksanakan iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan. Sejak penubuhannya pada tahun 1971 sehingga kini, PERKESO telah mendaftarkan seramai hampir 16 juta orang pekerja berdaftar terkumpul dan dari bilangan tersebut, seramai 6.5 juta orang pekerja yang sedang bekerja dengan 420,476 majikan kini masih terus dilindungi. Perluasan perlindungan dan penambahbaikan faedah-faedah di bawah kedua-dua skim telah beberapa kali dilaksanakan untuk memberikan perlindungan yang komprehensif dan bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa Negara.

  2. Daripada perlindungan kepada pekerja yang bergaji RM500.00 dan ke bawah sebulan pada permulaan penubuhan, kini PERKESO telah meluaskan perlindungan kepada semua pekerja tanpa mengira jumlah gaji bulanan yang diterima, namun caruman maksimum ditetapkan hanya pada siling gaji RM4,000.00 sebulan sahaja. Begitu juga dengan skim perlindungan yang awalnya hanya Skim Bencana Pekerjaan dan kemudiannya Skim Keilatan pada tahun 1974 hinggalah kini dengan transformasi faedah-faedah serta kemudahan baru pada tahun-tahun berikutnya. Di antara penambahbaikan faedah serta kemudahan baru itu termasuklah pelaksanaan perlindungan semasa perjalanan, meneruskan bayaran faedah tunai kepada balu dan duda sepanjang hayat, menaikkan kadar bayaran faedah bagi setiap 5 tahun selepas kajian aktuari bagi penyesuaian kos sara hidup semasa, pengenalan kepada Program Saringan Kesihatan, pelaksanaan Program Kembali Bekerja (Return to Work Programme) dan lain-lain.

  3. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, PERKESO telah mencapai prestasi yang membanggakan menerusi beberapa pengiktirafan dalam Negara dan peringkat antarabangsa. Antaranya adalah Anugerah Khas Hak Asasi Manusia Tahun 2013 menerusi Program Return To Work juga PERKESO telah mendapat tempat pertama di International Media Festival for Prevention (IMFP) sempena World Congress Safety and Health at Work menerusi ‘Video Bayangkan” pada tahun 2014. Tahun 2015, PERKESO turut menerima anugerah Transformation Recognition Award menerusi Projek Pusat Rehabilitasi PERKESO. Di samping itu, PERKESO turut menerima pengiktirafan Bintang Agensi Sektor Awam tahun 2015-2016 dengan memperolehi Lima Bintang. Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif penambahbaikan dan transformasi yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sistem penyampaian perkhidmatan, kemampanan dana dan kualiti kesejahteraan sosial pekerja.

  4. Dengan visi untuk menjadi `Peneraju Keselamatan Sosial yang unggul dan cemerlang menjelang tahun 2020’, PERKESO menyedari bahawa di samping penambahbaikan secara berterusan skim-skim perlindungan sedia ada, keberhasilan dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan PERKESO kepada pelanggan juga perlu diutamakan. Selaras dengan hasrat kerajaan dalam mendepani cabaran globalisasi melalui pendekatan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Wawasan 2020 yang mana antara intipatinya rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, PERKESO telah membangunkan pelan perancangan strategik bagi tempoh 5 tahun sehingga tahun 2020 yang turut mengangkat kepentingan perkhidmatan kepada pelanggan sebagai salah satu teras utama. Teras ini kini diterjemahkan dalam aktiviti penjenamaan perkhidmatan PERKESO yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Richard Riot Jaem, Menteri Sumber Manusia pada 26 Oktober 2016 di perkarangan Menara PERKESO, Kuala Lumpur.

  5. Penjenamaan semula perkhidmatan ini amat penting kerana ia merupakan satu proses strategik ke arah pembinaan semula imej, kredibiliti serta perubahan ke arah pelaksanaan agenda pembangunan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan. Dalam merangka proses penjenamaan ini, PERKESO turut peka kepada perubahan yang berlaku dalam persekitaran sosial dan ekonomi serta memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus yang baik (good governance) dalam memenuhi ekspektasi stakeholders dan pelanggan. Konsep ini yang mengutamakan kesejahteraan golongan pekerja dan orang tanggungan yang dilindungi menampakkan kesungguhan PERKESO dalam membantu meringankan bebanan sosial pekerja terbencana untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Dalam erti kata lain, PERKESO sangat prihatin kepada nasib pekerja terbencana untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

  6. Berpaksikan kepada halatuju untuk dikenali sebagai sebuah organisasi yang prihatin, PERKESO telah menggariskan tiga elemen utama dalam menjenamakan semula organisasi ini iaitu dengan cara menaiktaraf kemudahan fizikal, menambahbaik struktur perkhidmatan dan memantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Kesemua pendekatan ini menjurus kepada usaha bersungguh-sungguh PERKESO untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan ketika berurusan dengan PERKESO.

  7. Menaiktaraf Kemudahan Fizikal. Kaunter pelanggan PERKESO mencatatkan bilangan pengunjung yang semakin meningkat dengan pelbagai urusan antaranya pendaftaran pekerja dan majikan, pertanyaan, khidmat nasihat, mengemukakan tuntutan, bayaran caruman dan penghantaran dokumen. Sebagai perbandingan, bilangan pelanggan yang hadir ke kaunter pelanggan PERKESO seluruh Negara mencatatkan seramai 1.1 juta orang pada tahun 2013 dan ianya meningkat kepada 1.3 juta orang pada tahun 2014 dan seramai 1.5 juta orang pada tahun 2015. Peningkatan ini berlaku kerana tahap pengetahuan pelanggan yang semakin meningkat dan kesedaran pekerja atas hak-hak mereka di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh PERKESO. Oleh kerana pelanggan PERKESO yang pelbagai termasuk dari kalangan orang kelainan upaya, warga emas dan anak-anak, PERKESO telah mengambil pendekatan untuk menaiktaraf kemudahan fizikal di kaunter-kaunter pelanggan dan persekitaran bangunan pejabat bagi memberi keselesaan kepada pelanggan semasa berurusan. Dengan menyediakan ruang kaunter yang luas, tempat menunggu yang mencukupi, sistem pencahayaan yang sesuai, sistem menunggu giliran mendapatkan perkhidmatan yang lebih cekap dan kemudahan infra yang mesra pelanggan merupakan ciri utama kaunter pelanggan yang kini sedang hebat dipertingkatkan secara berperingkat ke seluruh Negara.

  8. Kaunter pertanyaan dan saringan juga telah disediakan di kaunter pelanggan PERKESO untuk membantu memberi penerangan dan menyalurkan pelanggan ke kaunter sebenar bagi mendapatkan perkhidmatan yang dikehendaki. Kaedah ini juga dapat menjimatkan masa pelanggan semasa berurusan dengan PERKESO.

  9. Kaunter-kaunter pelanggan PERKESO juga kini boleh menerima dokumen-dokumen tuntutan pelanggan bagi pejabat-pejabat PERKESO di luar kawasan pentadbiran sesebuah pejabat tersebut. Jika dahulu, tuntutan perlu dikemukakan ke Pejabat PERKESO di mana majikan dan pekerja berada tetapi kini proses itu dipermudahkan dengan penerimaan di mana-mana sahaja kaunter PERKESO di seluruh Negara. Kaunter PERKESO itu kemudiannya yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan dokumen tuntutan tersebut ke pejabat yang berkaitan. Dengan cara ini, PERKESO dapat membantu pekerja terbencana dalam urusan mengemukakan tuntutan supaya tuntutan dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka dalam waktu yang singkat.

  10. Penambahbaikan Struktur Perkhidmatan. PERKESO kini tidak lagi hanya menunggu pelanggan hadir ke pejabat untuk berurusan tetapi juga turut memberikan tumpuan kepada perkhidmatan kepada pencarum di luar pejabat termasuk di kediaman pekerja, premis majikan atau di lokasi di mana pekerja sedang menerima rawatan. Menyedari ada pekerja atau orang tanggungan mereka yang masih kurang menyedari faedah perlindungan PERKESO terutama yang melibatkan kes-kes kemalangan, atau kesukaran pekerja yang ditimpa kemalangan untuk memaklumkan kepada majikan supaya mengemukakan permohonan, PERKESO telah mengambil tindakan proaktif bagi membantu golongan ini.

  11. Perkhidmatan khas yang baharu diwujudkan dengan penubuhan Pasukan PERKESO Prihatin di semua Pejabat PERKESO merupakan satu inisiatif bagi membantu dan memastikan setiap kes yang layak dapat diproses dan diselesaikan dalam waktu yang singkat tanpa menunggu tuntutan dikemukakan oleh pekerja yang ditimpa kemalangan ke Pejabat PERKESO. Pasukan PERKESO Prihatin ini akan sentiasa memantau berita-berita kemalangan yang dilaporkan oleh media massa dan juga menjalin hubungan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia bagi mendapatkan maklumat kemalangan setiap hari untuk disemak kelayakan mangsa kemalangan sebelum menghulurkan bantuan dalam kadar yang segera. Pasukan ini akan keluar menemui mangsa kemalangan dan waris mereka bagi membantu proses mendapatkan tuntutan faedah dari PERKESO. Sejak penubuhan pasukan ini pada bulan Januari 2016, sebanyak 887 kes telah dapat diuruskan di mana sejak 664 kes adalah kes melibatkan kemalangan maut.

  12. Memantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Kualiti penyampaian perkhidmatan pelanggan diukur dari tahap kepuasan pelanggan semasa berurusan dengan petugas di kaunter. Pelanggan berpuashati bukan sahaja ditentukan oleh apa yang dipohon dapat dipenuhi tetapi juga berpuashati jika mendapat layanan yang mesra dari petugas kaunter. Menyedari hakikat ini, modal insan perlu dilatih supaya kompeten dan mampu memberikan kualiti perkhidmatan yang diharapkan. PERKESO menekankan kepentingan pengetahuan produk di kalangan petugas kaunter supaya mereka dapat membantu secara efektif pelanggan yang hadir di kaunter. Di samping itu, petugas kaunter PERKESO juga telah didedahkan dengan maklumat berkenaan program-program keselamatan sosial lain yang turut disediakan oleh agensi kerajaan, swasta atau badan-badan bukan kerajaan yang lain. Pendedahan ini bertujuan supaya petugas kaunter PERKESO mampu memberi nasihat, bantuan atau cadangan kepada pelanggan yang tidak layak di bawah skim-skim yang ditadbir oleh PERKESO untuk membuat permohonan kepada pihak lain yang terlibat. Dengan cara ini, pelanggan tersebut masih mempunyai peluang untuk memohon bantuan bagi meneruskan kehidupan mereka.

  13. Petugas kaunter PERKESO juga telah dberikan latihan mencukupi untuk memberikan layanan terbaik dan mesra kepada pelanggan melalui modul dalaman PERKESO yang dibangunkan iaitu Modul S4P – Senyum, Sapa, Salam, Santun dan Prihatin.

  14. PERKESO yakin dengan penjenamaan semula perkhidmatan ini, ianya akan dapat membantu masyarakat mengetahui lebih mendalam peranan PERKESO serta hak-hak pekerja dalam skim perlindungan keselamatan sosial yang dilaksanakan. PERKESO akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan sangat prihatin dengan keperluan serta kesejahteraan kehidupan pencarum serta orang tanggungan mereka. Sebagai sebuah organisasi yang mengambil berat kesusahan yang ditanggung oleh pekerja yang mengalami kemalangan atau musibah, PERKESO rasa sangat bertanggungjawab untuk sama-sama meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka. Justeru itu, PERKESO kini berada di landasan sebenar untuk menjadi organisasi yang unggul dan cemerlang dengan imej baru yang sentiasa prihatin dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pelanggan-pelanggan khususnya kepada Orang Berinsurans dan orang tanggungan mereka. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan