Isnin, 30 Disember 2019

Lebih 5 Ribu Guru KAFA di Kelantan Di Carum PERKESO

                                                                          
TANAH MERAH, 30 Disember 2019 – Lebih 5000 Guru KAFA Negeri Kelantan bakal menikmati pelbagai faedah yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak mencarum guru-guru berkenaan dengan pihak agensi itu dengan jumlah pembayaran caruman sebanyak RM842,138.10. Jumlah pembayaran ini adalah untuk bayaran caruman tahun 2019 yang melibatkan seluruh Guru KAFA Negeri Kelantan sahaja.
Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO (Pengurusan) Mohd Rosdi Mat Yasin berkata ‘Pembayaran caruman PERKESO untuk guru KAFA seluruh Negeri Kelantan ini adalah bertepatan dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 240/2013, Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian Kepada Pekerja Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) 2013 mengenai liputan kepada kakitangan Kerajaan yang berstatus kontrak dan sementara yang telah pun dikuatkuasakan mulai 01 Jun 2013. Dengan pembayaran caruman ini maka guru-guru KAFA di negeri ini dilindungi PERKESO dan menikmati semua faedah yang disediakan PERKESO sepertimana pencarum lain. Jumlah pembayaran caruman PERKESO pada hari ini adalah sebahagian dari peruntukan pihak Kerajaan yang disalurkan melalui JAKIM berjumlah RM6.9 juta untuk pembayaran caruman PERKESO melibatkan Guru KAFA di seluruh Negara bagi tahun 2019. Ia adalah bukti jelas keprihatinan pihak Kerajaan dalam menjaga kebajikan Guru KAFA di seluruh Negara pada amnya dan khususnya pada hari ini di Negeri Kelantan.

Untuk itu pihak PERKESO khususnya PERKESO Negeri Kelantan telah berkolaborasi dengan Pengurusan KAFA negeri Kelantan untuk memberi penerangan kepada guru-guru KAFA di Negeri ini tentang faedah-faedah serta skim yang disediakan PERKESO, lantaran itu sebanyak 9 siri taklimat khas kepada Guru KAFA seluruh Negeri Kelantan telah pun diadakan yang melibatkan lebih 5000 Guru KAFA keseluruhannya, Mohd Rosdi ditemui pemberita ketika menghadiri Program taklimat PERKESO kepada Guru KAFA Negeri Kelantan dan Penyerahan ‘Mock Cheque’ pembayaran Caruman PERKESO oleh JAKIM yang diadakan di Dewan Sri Gemilang Kolej Vokasional Tanah Merah pada hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Suami kepada seorang guru KAFA menerima kejutan tidak diduga pada majlis hari ini. Beliau yang baru sahaja kematian Isterinya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya pada 01 Oktober yang lalu telah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dari pihak PERKESO berjumlah RM2000 dan bakal menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM540 sebulan untuk seumur hidupnya. 

Mohd Ghusok bin Che Hussin 43, bersyukur kematian Isterinya akhirnya terbela ekoran pembayaran Caruman PERKESO oleh pihak JAKIM telah menyebabkan Isterinya dilindungi oleh pihak PERKESO dan kematian Isterinya Mariana Yusoh 31, menyebabkan beliau telah layak menerima pembayaran Faedah Pengursan Mayat dan juga menerima Pencen Faedah orang Tanggungan (FOT) untuk seumur hidupnya.

 “Saya adalah penerima faedah PERKESO yang pertama di Negara ini dari kalangan waris Guru KAFA, ia hasil caruman JAKIM kepada PERKESO melayakkan saya menerima faedah sebegini. Saya percaya caruman ini bakal memberi impak yang besar kepada Guru KAFA dan waris mereka dan sudah tentu memberi kebajikan yang tidak berbelah bahagi kepada guru KAFA dan waris mereka, terima kasih pihak JAKIM terima kasih pihak Kerajaan kerana menjaga kebajikan guru KAFA melalui tindakan positif dengan membuat Caruman dengan pihak PERKESO” ujar Mohd Ghusok Che Hussin ketika ditemui pemberita pada majlis hari ini.






Tiada ulasan:

Catat Komen