Jumaat, 21 Oktober 2011

Dosa besaq...kata Abu Hasan Din

JOHOR BAHRU: “Berdosa besar bagi wanita yang sudah bersuami menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangganya.

“Sepatutnya, sebagai isteri, wanita perlu hormat dan taat pada suami lebih-lebih lagi suami yang baik budi pekerti,” kata tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din.


Beliau diminta mengulas berkaitan wanita yang sanggup membayar wang tebus talak semata-mata untuk bercerai kerana mahu berkahwin dengan teman lelaki.

Menurutnya, ada di kalangan anggota masyarakat yang kurang faham dengan tujuan perkahwinan dan berikutan itu, mereka sanggup melakukan perbuatan seperti wang tebus talak.


Pada masa sama, menurut Abu Hassan, tebus talak juga bukan peluang untuk mencari wang.


“Ada lelaki yang enggan menerima wang tebus talak kerana ia membabitkan maruah, tetapi bagi lelaki yang menerimanya kerana semata-mata mahukan wang, mereka boleh dianggap dayus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, isteri boleh meminta cerai daripada suaminya kerana beberapa perkara seperti lelaki berkenaan mati pucuk atau berlaku zalim terhadap mereka.


“Bagi kes berkenaan, ia dibolehkan kerana perkara itu mendatangkan kemudaratan kepada isteri,” katanya.


Laporan muka depan Harian Metro kelmarin mendedahkan Normah, 31, yang sanggup membayar wang tebus talak RM20,000 kepada suaminya semata-mata mahu berkahwin dengan teman lelaki.


Normah yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, menyatakan suami yang dikahwini selama lima tahun seorang yang baik dan tidak pernah membuat sebarang kesalahan sepanjang perkahwinan mereka.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan