Isnin, 31 Oktober 2011

Ketuan Audit Negara Iktiraf keupayaan PERKESO catat keuntungan pelaburan


KUALA LUMPUR - Keupayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencatat keuntungan RM18.4 bilion dalam pelaburannya pada 2010 menyebabkan agensi itu diiktiraf dalam Laporan Audit Negara bagi tahun lalu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, keuntungan itu berpunca daripada kejayaan Bahagian Risiko dan Penyelidikan Perkeso menganalisa dan mengenal pasti pelaburan berisiko tinggi sekali gus membantu mereka membuat keputusan tepat dalam sesuatu tindakan.

“Keuntungan dicatatkan sebanyak 4.3 peratus pada 2009 meningkat kepada 10.4 peratus pada 2010 adalah sesuatu yang hebat. Kami boleh mengatakan mereka telah melakukan yang terbaik. Keuntungan itu dapat digunakan untuk membayar pampasan pekerja dan bayaran faedah kepada pencarum yang ditimpa bencana.

“Sebagaimana pengauditan dilakukan November 2010 hingga Januari 2011 didapati, bahagian itu melakukan pelaburan ekuiti dengan cekap dan teratur,” katanya.

Menurutnya, semakan terhadap 46 kaunter saham mendapati Perkeso memperoleh keuntungan RM36.56 juta daripada keseluruhannya RM40.54 juta, setelah diasingkan kerugian RM3.98 juta.

Katanya, analisa dilakukan di 40 kaunter yang mengalami kerugian berjumlah RM285.26 juta pada Disember 2008 dan dua tahun kemudian, berkura-ngan RM42.84 juta.

“Perkeso rugi dalam pelaburan dalam kategori barangan pengguna, industri, teknologi, pembinaan, dagangan dan perkhidmatan serta kewangan. Ini kerana, bahagian berkenaan tidak mengikut prosedur apabila menganalisa dan mengeluarkan laporan tahunan kepada Lembaga Pengarah selepas pembelian dan penjualan saham dilakukan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan