JOHOR BARU: Tiga sahabat maut apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori bermuatan pasir di Jalan Batu 16 1/2, Sungai Tiram, di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi tadi dan menyebabkan kesemua mangsa, Mohamad Faiz Ahmad Tahir, 18, Mohamad Khairuddun Karimi, 21, dan Mohamad Nazri Zulkifly, 20, mati di tempat kejadian.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Faiz itu cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori bermuatan pasir berkenaan yang datang dari arah bertentangan," katanya, di sini, Sabtu.
Roslan berkata kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Sungai Tiram, di sini, selepas selesai bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Taman Desa Cemerlang, di sini.
Beliau berkata mayat ketiga-tiga lelaki berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.
Katanya pemandu lori berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, adik Mohamad Nazri, Mohamad Faiz Zulkifly, 17, ketika ditemui di hospital berkenaan berkata abangnya bersama dua rakan yang lain baru memulakan kerja di kilang tersebut semalam.
"Abang saya kelihatan sangat gembira untuk bekerja di tempat baru. Sebelum ini dia bekerja di sebuah bengkel berhampiran rumah," katanya. - BERNAMA
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
p/s:Kes ini sah kes kemalangan dalam perjalanan balik dari tempat kerja InsyaAllah waris2 boleh menuntut FOT(Faedah orang tangunggang) yakni pencen seumur hidup untuk waris.Pihak majikan perlu kemukakan Borang 21 (Laporan kemalangan dengan kadar segera)saya juga dapat rasakan pihak PERKESO JB akan mengambil tindakan proaktif dalam kes ini..InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan