KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari
raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.
Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250
kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.
Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.
Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan
itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165
juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.
"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah
pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut
gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang
diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA)
ke-13," katanya.
Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim
perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada
Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.
Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion
bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion
untuk setahun.
"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga
akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua
KGT pada tahun ini," katanya.
Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT
dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi
membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan