Isnin, 30 Disember 2019

Lebih 5 Ribu Guru KAFA di Kelantan Di Carum PERKESO

                                                                          
TANAH MERAH, 30 Disember 2019 – Lebih 5000 Guru KAFA Negeri Kelantan bakal menikmati pelbagai faedah yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak mencarum guru-guru berkenaan dengan pihak agensi itu dengan jumlah pembayaran caruman sebanyak RM842,138.10. Jumlah pembayaran ini adalah untuk bayaran caruman tahun 2019 yang melibatkan seluruh Guru KAFA Negeri Kelantan sahaja.
Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO (Pengurusan) Mohd Rosdi Mat Yasin berkata ‘Pembayaran caruman PERKESO untuk guru KAFA seluruh Negeri Kelantan ini adalah bertepatan dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 240/2013, Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian Kepada Pekerja Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) 2013 mengenai liputan kepada kakitangan Kerajaan yang berstatus kontrak dan sementara yang telah pun dikuatkuasakan mulai 01 Jun 2013. Dengan pembayaran caruman ini maka guru-guru KAFA di negeri ini dilindungi PERKESO dan menikmati semua faedah yang disediakan PERKESO sepertimana pencarum lain. Jumlah pembayaran caruman PERKESO pada hari ini adalah sebahagian dari peruntukan pihak Kerajaan yang disalurkan melalui JAKIM berjumlah RM6.9 juta untuk pembayaran caruman PERKESO melibatkan Guru KAFA di seluruh Negara bagi tahun 2019. Ia adalah bukti jelas keprihatinan pihak Kerajaan dalam menjaga kebajikan Guru KAFA di seluruh Negara pada amnya dan khususnya pada hari ini di Negeri Kelantan.

Untuk itu pihak PERKESO khususnya PERKESO Negeri Kelantan telah berkolaborasi dengan Pengurusan KAFA negeri Kelantan untuk memberi penerangan kepada guru-guru KAFA di Negeri ini tentang faedah-faedah serta skim yang disediakan PERKESO, lantaran itu sebanyak 9 siri taklimat khas kepada Guru KAFA seluruh Negeri Kelantan telah pun diadakan yang melibatkan lebih 5000 Guru KAFA keseluruhannya, Mohd Rosdi ditemui pemberita ketika menghadiri Program taklimat PERKESO kepada Guru KAFA Negeri Kelantan dan Penyerahan ‘Mock Cheque’ pembayaran Caruman PERKESO oleh JAKIM yang diadakan di Dewan Sri Gemilang Kolej Vokasional Tanah Merah pada hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Suami kepada seorang guru KAFA menerima kejutan tidak diduga pada majlis hari ini. Beliau yang baru sahaja kematian Isterinya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya pada 01 Oktober yang lalu telah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dari pihak PERKESO berjumlah RM2000 dan bakal menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM540 sebulan untuk seumur hidupnya. 

Mohd Ghusok bin Che Hussin 43, bersyukur kematian Isterinya akhirnya terbela ekoran pembayaran Caruman PERKESO oleh pihak JAKIM telah menyebabkan Isterinya dilindungi oleh pihak PERKESO dan kematian Isterinya Mariana Yusoh 31, menyebabkan beliau telah layak menerima pembayaran Faedah Pengursan Mayat dan juga menerima Pencen Faedah orang Tanggungan (FOT) untuk seumur hidupnya.

 “Saya adalah penerima faedah PERKESO yang pertama di Negara ini dari kalangan waris Guru KAFA, ia hasil caruman JAKIM kepada PERKESO melayakkan saya menerima faedah sebegini. Saya percaya caruman ini bakal memberi impak yang besar kepada Guru KAFA dan waris mereka dan sudah tentu memberi kebajikan yang tidak berbelah bahagi kepada guru KAFA dan waris mereka, terima kasih pihak JAKIM terima kasih pihak Kerajaan kerana menjaga kebajikan guru KAFA melalui tindakan positif dengan membuat Caruman dengan pihak PERKESO” ujar Mohd Ghusok Che Hussin ketika ditemui pemberita pada majlis hari ini.






Khamis, 12 Disember 2019

BALU PERTAMA PENERIMA ELAUN ORANG TANGGUNGAN DI KELANTAN

                                                                         
PASIR PUTEH,12 Disember 2019 – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri Kelantan melalui Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) buat pertama kalinya telah membuat bayaran Elaun Orang Tanggungan (EOT) di negeri itu kepada balu Allahyarham Tengku Azis bin Tuan Yusoff di sini hari ini.

Allahyarham Tengku Azis bin Tuan Yusoff 58, adalah bekas kakitangan CIMB Bank Berhad Cawangan Machang Kelantan dah telah mengambil tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bermula 01 November 2019, ekoran itu beliau telah membuat permohonan kehilangan pekerjaan di pejabat PERKESO negeri Kelantan pada 07/11/2019 untuk menuntut faedah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Namun begitu dalam proses untuk pembayaran EMP beliau telah meninggal dunia pada 17/11/2019 akibat sakit jantung.
PERKESO negeri Kelantan melalui Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah segera memproses tuntutan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) Allahyarham dan ia telah diluluskan pada 14.11.2019. Ekoran kematian pemohon tersebut maka Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) telah ditukar kepada Elaun Orang Tanggungan (EOT)  dan dibayar kepada orang tanggunganya iaitu balu Allahyarham secara pukal melalui faedah Elaun Orang Tanggungan (EOT) seperti yang diperuntukkan dibawah seksyen 39 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) di mana jumlah keseluruhan elaun itu berjumlah RM9480.00 dan telah pun di kreditkan ke akaun balu Allahyarham.
Balu Allahyarham Tengku Azis iaitu Nasitah bt Jusoh 58, yang ditemui di kediamannya pada hari ini terharu dan terkejut dengan keprihatinan pihak PERKESO negeri Kelantan dalam menyegerakan tuntutan yang dibuat oleh Allahyarham suaminya. Beliau menjangkakan  apabila suaminya meninggal dunia maka permohonan suaminya untuk melapor kehilangan pekerjaan dan menikmati Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) akan terbatal. Namun sebaliknya berlaku apabila pihak PERKESO negeri Kelantan hari ini hadir dengan memberi kejutan besar kepada saya dimana mereka memaklumkan saya layak menerima Elaun Orang Tanggungan (EOT) yang dibayar secara pukal meliputi 5 bulan EMP ‘ia sesuatu yang saya tidak jangka sama sekali dan diluar dugaan’, saya yakin keprihatinan PERKESO ini akan membuka mata semua pihak terutamanya berkenaan fungsi dan faedah mencarum dalam skim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Sementara itu Pengarah PERKESO Negeri Kelantan Hajah Nora Yaacob berkata beliau turun padang hadir ke rumah balu Allahyarham Tengku Azis hari ini kerana ia adalah buat pertama kalinya bayaran Elaun Orang tangungan (EOT) dibayar di negeri itu, ujarnya lagi sebelum ini tiada kes kematian melibatkan pemohon faedah Sistem Insurans Pekerja di negeri Kelantan terutamanya ketika memohon Ealaun Mencari Pekerjaan (EMP). Selain faedah EOT balu Allahyarham juga layak menerima faedah Pencen Penakat ekoran kematian suaminya itu dimana pihak kami telah pun membuat bayaran RM2000 untuk Pengurusan Mayat dan beliau akan menerima Pencen bulanan secara berkala sebanyak RM1540.50.
Dalam perkembangan berkaitan Hajah Nora juga mengatakan bahawa Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) negeri Kelantan telah menerima dan meluluskan sebanyak 707 permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan negeri itu dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM1.261 juta bermula Januari hingga November 2019. Daripada 707 pemohon tersebut 332 pemohon telah berjaya kembali bekerja dengan bantuan Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) negeri ini.