Ahad, 24 April 2011

Mati seminggu sebelum Nikah

MERSING: “Jaga diri awak baik-baik,” itu pesan terakhir Mohd Fadli Suliman, 26, kepada tunang yang bakal dikahwini minggu depan, Siti Salwani Jamaluddin, 20, sebelum dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Felda Nitar-Mersing di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, kereta Perodua Kancil dipandu Mohd Fadli ke tempat kerja bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Harrier dari arah bertentangan.


Akibatnya, Fadli tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Salwani berkata, sebelum kejadian, Fadli pulang ke rumah keluarganya yang berhampiran dengan kediamannya di Felda Nitar 2 untuk makan tengah hari.


“Fadli berkerja di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, Kluang, sebagai pekerja pembersihan dan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.


“Selesai makan, Fadli terus ke rumah saya sebelum berpesan supaya saya menjaga diri, tidak sangka itu pesan terakhirnya sebelum dia dijemput Ilahi,” katanya ketika ditemui di Hospital Mersing.

Menurut Salwani, semua persiapan untuk melangsungkan perkahwinan sudah siap dan dia tidak menyangka hasrat mereka berumahtangga tidak kesampaian.


“Kami mengimpikan perkahwinan yang kekal hingga ke akhir hayat tetapi Tuhan lebih sayangkannya,” katanya.

Ibu Fadli, Salmah Ali, 60, berkata, sebelum kejadian, anaknya itu berkelakuan pelik kerana tidak menghabiskan nasi dihidang.


“Dia tidak pernah berkelakuan sedemikian tetapi saya tidak mengesyaki akan berlaku sesuatu yang buruk.


“Saya memang terkilan kerana tidak dapat melihat anak naik pelamin namun menganggap apa yang berlaku ini sebagai takdir dan reda dengan kejadian,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


“Kancil dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Harrier itu.


“Pasukan Bomba dan Penyelamat Mersing dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.


Menurut beliau, pemandu Toyota Harrier yang berusia lingkungan 50-an hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.


Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


***
Bagi pihak perkeso kes ini telah diambil tindakan serta merta dan ahasil siasatan akan diketahui sedikit masa lagi..ini kerna ada penemuan maklumat baru yang cukup berbeda dengan laporan berita yang dikeluarkan oleh media cetak***

4 ulasan:

  1. s/khabar ni cerita pasal kemalanganpun nk kelentong jugak ker? Nampaknya, pasal nombor ekor je yang betul agaknya?

    BalasPadam
  2. apapun, takziah kepada mangsa dan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman

    BalasPadam
  3. my bro betul tu...media ambil pendapat satu pihak tanpa merujuk pada majikan..hakikatnya banyak perbedaan dari segi fakta yang agak ketara

    BalasPadam
  4. Sekarang ni susah nak percaya pada apa yg diberitakan oleh media tempatan kita.

    BalasPadam