Sabtu, 23 April 2011

perangkap laju polis tidak bersembunyi lagi


SHAH ALAM - Polis tidak lagi menjalankan tugas secara bersembunyi dalam operasi melibatkan lalu lintas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, arahan tersebut sudah dikeluarkan dan anggota polis akan berada di jalan raya bagi mempraktikkan pendekatan itu.

“Kita tidak akan sorok-sorok lagi dengan bersembunyi di sebalik tiang atau pokok sebelum mengeluarkan sebarang saman.

“Kita akan berada di tempat-tempat terpilih yang dapat dilihat pengguna jalan raya dan mengeluarkan saman secara terus jika mereka melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi dialog dengan 1,000 belia India pada Majlis Sehari Bersama Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini semalam.

Khalid membuat kenyataan itu apabila seorang peserta dialog mengutarakan mengenai kekerapan kehadiran polis di jalan raya sejak kebelakangan ini menyebabkan pemandu lebih berdisiplin berbanding sebelum ini, di mana ada anggota polis menyorok di hujung jalan dan kemudian keluar dari persembunyian lalu menahan pesalah trafik.

Khalid berkata, pihaknya melihat pendekatan ini sebagai satu alternatif mendidik orang ramai supaya lebih berhati-hati dan patuh pada peraturan lalu lintas.

“Sebelum ini, pengguna jalan raya hanya akan patuh pada peraturan bila nampak polis, tetapi akan langgar undang-undang bila polis tiada.

“Kita pilih cara ini agar mereka lebih serius dan tidak memandang remeh terhadap peraturan dan undang-undang yang sudah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, selain daripada peningkatan kehadiran polis, pemandu juga diingatkan bahawa polis juga menggunakan kamera dan beberapa alat lain untuk mengesan kesalahan.

2 ulasan:

  1. Statement bengong dr TKPN. Klau xsembunyi macamana nak buat speed trap. Hakikatnya, polis trafik ttp akan bersembunyi juga cuma mungkin kat depan dh ada trafik yg standby untuk kluarkan saman. Maybe no more 'SAMAN EKOR' after this. Just wait n see.

    BalasPadam
  2. hahaha kena pulok doh speed trak kat jalan tanah merah KB aduhhh ado ko patut g wak kat kelajuan 60 KM adeii cilaka betul

    BalasPadam