Isnin, 22 Julai 2013

program murni kakitangan perkeso@rumah jagaan dan rawatan orang tua Al-Ikhlas



Biro Pembangunan Wanita dan Pendidikan, KESPO telah menganjurkan Program Murni: Masih Ada Yang Sayang di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong, Selangor. Seramai 40 orang peserta telah menjayakan program lawatan murni ini.

Atas dasar prihatin, maka kutipan sumbangan berbentuk barangan dan wang tunai daripada semua warga PERKESO di sekitar Lembah Klang iaiatu melibatkan kakitangan Ibu Pejabat, Pejabat PERKESO Negeri Kuala Lumpur dan Selangor serta Pejabat PERKESO Kajang, Rawang dan Klang telah dilaksanakan. Jumlah sumbangan wang tunai yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM5,970 dan pihak urus setia turut menerima sumbangan barangan berbentuk bahan masakan, tudung, pakaian, sejadah, kelengkapan dapur dan barangan pencuci.

Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas ini telah diwujudkan sejak 10 tahun yang lalu, di mana penghuninya adalah terdiri daripada orang tua yang masih sakit tapi hospital tidak mampu lagi untuk menjaganya, orang tua yang telah ditinggalkan oleh anaknya dan dibuang keluarga atau memang tiada saudara mara atau mungkin ada tapi tidak dapat dikesan. Hampir sebahagian daripada mereka hanya terlantar di atas katil dan tidak boleh mengurus diri sendiri, mempunyai penyakit kencing manis, alzheimer, strok, buta dan penyakit tua. Sehingga ke hari ini sudah lebih 100 orang penghuni menetap dan menerima rawatan di sini hingga meninggal dunia.

Kehadiran peserta PERKESO telah disambut mesra oleh 66 orang penghuni Rumah Al-Ikhlas dengan senyuman dan harapan. Pelbagai kisah suka duka mereka dikongsikan bersama peserta. Ada di antara mereka mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan pernah bekerja sebagai guru, tetapi di akhir usia tiada sesiapa yang ingin menjaganya. Ada juga yang telah ditinggalkan oleh isteri dan dibuang keluarga kerana mempunyai penyakit. Manakala yang lain pula, hidup sebatang kara kerana tiada keluarga dan waris. Tersentuh dengan kisah sedih mereka, menyebabkan ramai peserta tidak dapat menahan sebak dan menitiskan airmata apabila mengenang penderitaan dan kesunyian yang dirasai oleh mereka yang tiada tempat untuk mengadu. Malah ada juga peserta yang dipegang tangannya agar tidak meninggalkan mereka dan diminta untuk menemaninya hingga lebih lama. Pengalaman seperti ini memberikan banyak pengajaran, kenangan manis dan pahit serta memberi kesedaran kepada peserta untuk menghargai ibubapa dan menjaga mereka hingga ke akhir hayat.

Di akhir program, Encik Mohd Naza bin Said, Yang Dipertua KESPO telah menyampaikan cek kepada penyelia rumah berkenaan bersama barangan yang telah dikumpul serta sumbangan daripada KESPO iaitu pemanas air 2.0 liter. KESPO juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan oleh semua warga PERKESO yang prihatin dalam menjayakan program murni ini.

Disediakan oleh : Biro Pembangunan Wanita dan Pendidikan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan